Sihir Ilmu Hitam Dan Impaknya Pada Kehidupan Si Mangsa


Semenjak dari usia kita masih kanak-kanak lagi, kita sudah dihidangi dengan kepelbagaian kisah mengenai sihir ilmu hitam samada dari buku-buku mahupun di kaca televisyen dan sebagainya. Apakah sebenarnya sihir ilmu hitam itu? Pada artikel ini, pihak kami akan menghuraikan apakah makna sihir itu dari sudut perspektif metafizik dan juga impaknya terhadap kehidupan si mangsa.

Umum telah mengatahui bahawa seluruh alam semesta ini adalah terdiri dari komposisi energi. Bagi pandangan kami, tiada istilah energi baik/positif mahupun energi yang tidak baik/negatif. Kita ambil contoh iaitu elektrik; jika ia digunakan untuk menyalakan sebiji mentol, maka ianya telah digunakan bagi tujuan yang baik/positif tetapi, jika digunakan untuk menghidupkan kerusi renjatan bagi menyeksa seseorang maka itu adalah kegunaan yang tidak baik/negatif.

Jadi, sihir ini adalah salah satu bentuk kesan dari manipulasi energi bagi tujuan yang tidak baik, negatif atau jahat disamping diintegerasikan sekali dengan bantuan jin-jin musyrik bagi memperkuatkan lagi energi tersebut!

JENIS-JENIS SIHIR YANG PALING TERKENAL DI DUNIA

Sihir ini ada banyak jenis, ianya jatuh di bawah teori kuantum sains (teleportation dan entanglement) serta sebahagiannya lagi masih di bawah kategori undiscovered science. Antara sihir-sihir yang paling terkenal di dunia adalah:

  • Sihir santet/vodoo: menikam seseorang dari jarak jauh,
  • Sihir pemisah: memisahkan pasangan yang sedang bercinta,
  • Sihir penutup rezeki: menghambat aliran kerezekian seseorang,
  • Sihir santau: memasukkan objek ghaib ke dalam tubuh.

Hampir kesemua negara dan bangsa memiliki ahli sihir serta mangsa-mangsanya. Bukan sahaja di Nusantara, tetapi di negara-negara maju seperti Amerika, Arab Saudi, Jepun dan sebagainya juga memiliki ahli sihirnya yang tersendiri.

IMPAK SIHIR ILMU HITAM TERHADAP MANGSA KORBAN

Berdasarkan pandangan komuniti spiritual, antara gejala-gejala yang menunjukkan seseorang itu merupakan mangsa target sihir ilmu hitam adalah:

  • Berasa serabut jiwa, resah-gelisah, atau emosi yang tidak stabil,
  • Mengalami penyakit misteri tanpa penjelasan tepat dari pakar perubatan,
  • Kesempitan wang, kejayaan yang tersekat, atau kehancuran kerjaya,
  • Konflik dalam perhubungan cinta atau pengasingan diri daripada orang lain,
  • Mimpi ngeri, atau kerapa terasa seperti 'kena tindih'/lumpuh tatkala sedang tidur.

Sebenarnya impak atau kesan sihir terhadap korban mangsanya hanyalah mengganggu sebanyak 10% sahaja pada kehidupan dan lagi 90% adalah keadaan pola berfikir mangsa itu sendiri.

Jika tuan/puan masih lagi tidak memahami dengan jelas, contohnya lainnya adalah begini: andai kata kita prank seseorang iaitu dengan cara merenjis darah haiwan, taburkan tanah merah, kain kuning dan rangka cicak di pejabat seseorang lalu kita mengatakan kepada orang itu bahawa pejabatnya telah disihir (padahal tidak pun). Selalunya mesti orang itu terus berasa takut, risau, cemas dan patah semangat.

Apabila perasaan takut, risau dan patah semangat telah menyelubungi kehidupan seseorang itu maka bermulalah episod mental crack. Bermula dengan perasaan patah semangat maka kepelbagaian nasib malang pula akan menimpa-nimpa diri selepas itu. Hakikatnya cumalah bermula dari pola pemikiran kita sendiri sahaja.

Jadi, jika benar-benar diri kita disihir sekalipun, kesan gangguannya hanyalah sekitar 10% sahaja pada kehidupan diri, selebihnya kita perlu pandai tune pola pemikiran kita. Ianya bersifat sangat holistik/meluas dan penulisan ini mungkin akan menjadi panjang jika kami huraikan dengan lebih lanjut, jadi kami akan menyambung menulisnya di artikel yang lain.

Sihir ilmu hitam yang melibatkan patung antara yang paling terkenal di seluruh dunia, selagi mana patung itu wujud sebagai buhul, selagi itulah mangsa korban akan menderita sakit misteri yang tidak kunjung sembuh.

SERANGAN JIN YANG BERTALI ARUS TIDAK PUTUS-PUTUS

Selalunya mangsa-mangsa korban sihir ini pasti akan terperasan, setiap kali sedang tidur, mesti dirinya akan didatangi makhluk halus samada di dalam mimpi atau pun ketika separa lena.

Jika seseorang itu kerap mengalami mimpi ngeri, lazimnya apabila terjaga dari tidur, jantungnya akan menjadi berdegup-degup kencang atau panic attack. Jika ianya berterusan berlaku selama berbulan-bulan, maka bermulalah risiko mentalnya mengalami anxiety secara perlahan-lahan tanpa disedari.

Rata-ratanya, keadaan tidur bagi mangsa korban sihir ini tidaklah begitu berkualiti dek kerana sering diganggu tatkala sedang nenyak tidur ataupun ketika sedang separa lena. Ada juga kes di mana mereka menjadi cukup trauma untuk tidur malam, dan mereka memilih untuk tidur siang sahaja.

Apabila tidur itu tidak berkualiti samada jadual masa tidur yang tidak betul ataupun tidak cukup 7-8 jam sehari, maka bermula dari saat itu jugalah sistem imunisasi tubuh menjadi terjejas agak teruk. Tidak pasal-pasal diri menghidapi kepelbagaian rangkaian penyakit yang lain pula.

Tidur yang kadarnya tidak cukup secara berlanjutan sambil disulami pula dengan mimpi-mimpi ngeri sehingga mencemaskan jantung atau panic attack, selain anxiety, ianya juga turut boleh menyebabkan seseorang itu mengalami masalah mental kemurungan/depression.

Pendek kata; oleh kerana tidak mendapat tidur yang berkualiti, maka ianya boleh menjadi sebagai salah satu faktor pencetus masalah anxiety atau depression pada diri seseorang itu.

Sebab itulah jika sesiapa yang mengalami anxiety atau depression, doktor konvensional akan memberikan mereka ubat tidur contohnya seperti lorazepam dan lain-lain. supaya mereka mendapat tidur yang cukup lalu tubuhnya dapat memperbaiki sistem imunisasinya.

Usah tuan/puan salah faham, masalah anxiety dan depression ini bukanlah 100% datangnya dari faktor gangguan. Hakikatnya, terdapat 1001 lagi faktor-faktor yang lain, cumanya subtopik ini membincangkan jika ianya berpunca dari gangguan sihir sahaja.

TIP MENGAWAL DIRI JIKA MENJADI MANGSA KORBAN SIHIR

Sesiapa yang telah menjadi mangsa korban sihir, elakkan tidur seorang diri supaya apabila mendapat mimpi ngeri, tidaklah terasa begitu cemas dan takut. Sesiapa yang masih bujang, bolehlah menyewa bilik secara beramai-ramai.

Berusahalah kawal diri dari segala macam perasaan takut, risau atau bimbang. Sihir akan jauh lebih mudah menembusi tubuh insan yang sedang berasa takut dll. Rajin-rajinkan diri hadir ke kelas/seminar motivasi, membaca pelbagai buku inspirasi serta bergaul dengan orang-orang yang kerap memberi semangat dan kata-kata dorongan.

Anwar Suran, salah seorang perawat alternatif di Cahaya Metafizik™ Centre yang sedang merawati pesakitnya secara kaedah metafizik dan spiritual. Di dalam gambar ini beliau sedang merawati menggunakan kaedah Hizib Yassin kerana lain pesakit maka lainlah kaedahnya.

Elakkan sifat berputus asa dalam berikhtiar, berdoalah selalu kepada Allah SWT agar diberikan kekuatan, ditunjukkan cara untuk melalui kehidupan ini dan mohon dipermudahkan segala urusan penawarnya. Usah dimaki hamun ahli sihir dan si pengupahnya, ianya tidaklah menyelesaikan masalah malah lagi menyakitkan hati sendiri.

Jika sudah mengantuk, tidur sahaja di awal malam iaitu sekitar pukul 9:00-10:00 malam, dan andai katalah diganggu tidur pada pukul 3.00 atau 4.00 pagi, maka bolehlah bangun tahajud. Ucapkan terima kasih kepada si jin musyrik itu kerana kejutkan tahajud supaya jin itu berasa sungguh terhina. Kemudian dirikan sahaja solat sunat atau pun berzikirlah dengan apa-apa zikir di atas hamparan sejadah.

Setiap pagi atau petang, tanggalkan kasut atau selipar, pijaklah rumput atau pasir di mana-mana taman atau pantai yang indah selama 15-30 minit. Ianya dipanggil sebagai terapi grounding atau earthing. Jika rumah tuan/puan berada di atas lantai atau 5cm dari tanah, tidurlah di atas lantai beralaskan tikar contohnya mengkuang, buluh, rotan dll., sebagaimana sunnah Rasulullah SAW. Sihir akan amat sukar menembusi tubuh insan yang tidur di atas lantai yang maksima 5cm dari aras tanah.

Kerapkan diri berada di dalam masjid yang lapang dan besar yang sentiasa imarah juga boleh mengakses energi penyembuhan meresap masuk ke dalam diri. Masuk sahaja ke dalam masjid, terus sahaja terasa suasana ketenangannya!

Apa yang paling penting adalah, kawal minda sebaik mungkin. Usah difikirkan sangat 'aku disihir, aku sakit, aku menderita, aku hendak balas dendam' dan sebagainya. Ketika berdoa, nyatakan kepada Allah SWT iaitu: "Ya Allah SWT, aku redha terhadap segala-gala yang terjadi pada diriku ini", insha'Allah kita akan mengalami kepelbagaian keajaibannya selepas itu. Lazimi diri menyebutkan kesyukuran terhadap nikmat-nikmat Allah SWT yang lain seperti masih dipanjangkan usia, memiliki sahabat yang baik dll.

Sebenarnya banyak sahaja orang yang menjadi mangsa korban sihir di luar sana tetapi hidupnya tetap berjaya, perniagaannya kekal maju, usianya lanjut dan amat sihat walafiat pula. Apakah tip atau petua atau rahsia yang mereka lakukan? 

Segala-galanya kerana mereka sungguh bijak tune mindanya agar tidak berfikir pun masalah sihir yang hanya mengganggu 10% sahaja pada kehidupannya itu. Mereka buat tidak tahu sahaja dan sentiasa kekal fokus bagi mencapai segala impiannya.

KESIMPULAN

Sihir amat sukar menembusi tubuh orang yang bergembira, ceria, tenang malah tidak fokus pada ketakutan dan kebimbangan. Jika ditembusi sekalipun, hanya sedikit sahaja dan tidaklah begitu menganggu.




Share:
Visit My URL

Kod QR Pembayaran Cahaya Metafizik™

Sebarang Pertanyaan, Nyatakan Di Sini













Jumlah Pengunjung Cahaya Metafizik™