Waspada Diri Dari Penyakit Ain



Tahukah tuan-puan bahawa hampir kesemua manusia boleh terhasilkan sihir tanpa dirinya sengaja? Baiklah, untuk pengetahuan tuan-puan, penyakit Ain (pandangan mata jahat) merupakan salah satu daripada mekanisme sihir (manipulasi energi) yang berlaku tanpa disedari terhadap seseorang. Secara ringkasnya, istilah penyakit Ain merujuk kepada penyakit misteri yang terhasil daripada pandangan mata manusia.

Para nabi dan juga para pendeta pada zaman sebelum Masihi sentiasa mengingatkan umatnya agar berwaspada terhadap penyakit yang berpunca daripada pandangan mata manusia itu. Setiap agama atau bangsa mempunyai istilah tersendiri, antaranya:

  • Antarabangsa: Evil Eye,
  • Islam: Ain (al-‘Ayn) / Hasad,
  • Yahudi: Ayin Hara (עין הרע),
  • Hindu: Drishti (த்ரிஷ்டி),
  • Buddha Mahayana: Jashii,
  • Tamadun Rom: Malocchio,
  • Tamadun Cina: Xié Yǎn (邪眼 – secara harfiah bermaksud 'mata jahat'),
  • Lain-lain: Pelbagai istilah lain turut wujud dalam budaya seperti Deochi (Romania), Nazar (Turki, Parsi, Urdu), dan sebagainya.

APAKAH KESAN DARI PENYAKIT AIN? 

Keadaan dan simptom penyakit Ain sangat berbeza antara setiap individu. Lain individu, maka lainlah reaksi atau keadaan yang dialaminya ketika menghidapi penyakit Ain ini. Ada yang secara tiba-tiba mengalami:

  • Tekanan jiwa (kehilangan energi dalaman) serta kebimbangan (anxiety) tanpa sebab jelas,
  • Mata menjadi sembap, layu dan kelihatan gelap,
  • Wajah atau kulit kelihatan kusam, tidak berseri (hilang nur),
  • Fikiran berserabut, mudah marah, emosi tidak stabil, kesedihan melampau,
  • Bayi kecil mengalami sawan tangis atau tangisan berpanjangan (colic),
  • Rezeki menjadi sempit, urusan harian terasa sukar dan tersekat,
  • Gangguan dalam pekerjaan atau pelajaran tanpa sebab logik,
  • Penyakit misteri seperti darah tinggi walaupun tiada kesalahan dalam pola pemakanan,
  • Sakit atau sengal-sengal otot, khususnya di bahagian pinggang, tengkuk dan belikat,
  • Pelbagai lagi gangguan fizikal, emosi, mahupun spiritual yang sukar dijelaskan secara saintifik.

Apabila penyakit Ain menimpa seseorang, tidak mustahil lama-kelamaan individu tersebut akan mengalami penderitaan yang mendalam, sehingga boleh membawa kepada kehilangan arah hidup atau bahkan kecenderungan untuk membunuh diri. Situasi ini sering dilaporkan berlaku dalam kalangan figura awam (public figure) yang sentiasa menjadi tumpuan dan perhatian ramai.

MEKANISMA TERJADINYA PENYAKIT AIN 

Pernahkah anda mendengar istilah 'zikrullah adalah makanan bagi rohani'? Bagi umat Islam, zikrullah dianggap sebagai sumber energi spiritual yang menyuburkan jiwa dan membawa kepada ketenangan dalaman. Bagi penganut agama lain serta golongan yang mengamalkan fahaman kuno atau New Age pula, amalan seperti meditasi diamalkan untuk memperkuatkan benteng spiritual, iaitu dalam konteks meningkatkan frekuensi energi dalaman.

Seperti mana yang tuan-puan tahu, untuk menambah energi pada tubuh jasad, kita perlu mengambil zat fizikal seperti nasi, daging, dan pelbagai makanan berkhasiat yang lain. Sebaliknya, untuk memperkuatkan spiritual, kita perlu menguatkan energi dalaman, yang sering dikaitkan dengan konsep pencerahan diri (enlightenment). Proses ini boleh dicapai melalui amalan seperti berzikir, bermeditasi, atau mindfulness, bergantung kepada kepercayaan dan pendekatan seseorang.

Apabila seseorang menjadi figura awam seperti artis, sudah tentu mereka akan sentiasa menjadi tumpuan pandangan mata ramai. Jika spiritual dalamannya tidak cukup kuat, maka besar kemungkinan artis tersebut akan terdedah kepada penyakit Ain, yang boleh melemahkan energi spiritual dan menjejaskan kesihatan secara menyeluruh.

Sebab itulah ramai figura awam/artis yang tiba-tiba mengalami perubahan pelik dalam diri, seperti keletihan melampau, fikiran berserabut, dan kehilangan kewarasan tanpa sebab yang jelas. Untuk menghindari tekanan batin atau gejala aneh yang melanda diri mereka, ada yang akhirnya terpaksa memilih jalan singkat dengan mengambil dadah sebagai bentuk 'kesembuhan' sementara, meskipun ia bukanlah penyelesaian sebenar.

Ramai ahli spiritual berpendapat bahawa pandangan mata manusia yang terlalu fokus atau taksub, terutama apabila disertai dengan emosi yang kuat, mampu memancarkan gelombang energi tertentu yang kemudiannya akan terselaraskan (synchronize) ke dalam tubuh individu yang sedang diperhatikannya itu. Proses ini berlaku secara halus tetapi boleh memberi kesan besar terhadap energi dalaman dan keseimbangan spiritual seseorang.

Jika seseorang individu memiliki energi spiritual yang kuat, maka pandangan mata yang penuh emosi itu tidak akan memberi sebarang kesan kepadanya. Namun, jika energi spiritualnya lemah, maka besar kemungkinan individu tersebut akan terkena penyakit Ain. Keadaan akan menjadi jauh lebih berbahaya sekiranya si pemerhati atau si tukang pandang itu memiliki energi dalaman yang kuat, manakala individu yang dipandang pula berada dalam keadaan spiritual yang lemah, membuka ruang besar untuk gelombang energi negatif menembusi sistem pertahanan tubuh rohaninya.

CARA MERAWATI PENYAKIT AIN 

Penyakit Ain bukanlah sejenis gangguan jin, sebaliknya lebih kepada bentuk sihir halus yang terpancar melalui mata manusia, tanpa disedari, tanpa niat, dan tanpa pula disengajakan. Maka timbul persoalan, adakah mereka berdosa? Jawapannya adalah tidak, kerana ia berlaku secara tidak sengaja, malah kebanyakan individu yang menjadi penyebab pun tidak mengetahui langsung pun bahawa pandangan mereka boleh membawa kesan sedemikian rupa.

Jika kita merasa wajah atau tubuh kita kelihatan menarik, cantik, atau sasa (sado), sebaiknya elakkan daripada menjadikannya tontonan umum secara berlebihan, terutamanya melalui muat naik di media sosial. Jika tetap ingin berkongsi, pastikan tahap spiritualiti kita berada dalam keadaan yang kuat dan stabil terlebih dahulu. Ini kerana pandangan mata yang taksub atau dipenuhi perasaan dengki daripada orang lain boleh memberi kesan kepada energi dalaman, seterusnya membuka ruang kepada gangguan halus seperti penyakit Ain.

Andai seseorang telah ditimpa penyakit Ain, rawatannya bukanlah semudah A, B, C, namun ia tetap boleh diikhtiarkan, dan sememangnya ramai pesakit telah berjaya sembuh sepenuhnya. Proses rawatan mungkin mengambil sedikit masa, kerana penyakit Ain lazimnya telah pun memberi kesan terhadap kesihatan mental dan emosi dalaman seseorang. Antara langkah yang boleh diamalkan termasuklah zikrullah secara konsisten, latihan mindfulness, berkawan dengan golongan penyembuh (healer), mandi air garam, serta pelbagai lagi pendekatan pemulihan energi spiritual dan emosi.




Share:
Visit My URL

Kod QR Pembayaran Cahaya Metafizik™

Sebarang Pertanyaan, Nyatakan Di Sini













Jumlah Pengunjung Cahaya Metafizik™