Apabila musim serangan gangguan ghaib berskala besar semakin menghampiri, kami biasanya dapat mengesannya dalam beberapa hari lebih awal. Mungkin kerana kami terlibat dalam bidang perawatan alternatif dan parapsikologi, ditambah pula dengan minat kami yang mendalam dalam memerhati serta menganalisis fenomena di alam sekeliling kita.
Setiap kali serangan ghaib mula mendominasi alam ini, kebiasaannya akan tercetuslah pelbagai cabaran luar biasa contohnya seperti pesakit di wad psikiatri (sakit mental) yang mula menunjukkan gejala yang lebih serius, kes kematian mengejut meningkat, dan gangguan anxiety semakin berleluasa. Mereka yang sensitif terhadap unsur keghaiban pula cenderung menjadi lebih mudah dirasuki.
Apabila musim gangguan ghaib sedang mengganas secara global, rata-rata individu yang peka terhadapnya akan turut terkesan contohnya seperti mengalami gangguan emosi seperti keserabutan jiwa tanpa sebab, mimpi-mimpi seram, darah istihadah (haid) yang mengalir berpanjangan, kesukaran tidur malam, perut berangin atau cirit-birit tanpa punca jelas, kegatalan kulit, keletihan luar biasa, konflik rumah tangga, dan pelbagai simptom lain yang sukar dijelaskan secara logik.
Apabila musim gangguan ghaib sedang mengganas secara global, rata-rata individu yang peka terhadapnya akan turut terkesan contohnya seperti mengalami gangguan emosi seperti keserabutan jiwa tanpa sebab, mimpi-mimpi seram, darah istihadah (haid) yang mengalir berpanjangan, kesukaran tidur malam, perut berangin atau cirit-birit tanpa punca jelas, kegatalan kulit, keletihan luar biasa, konflik rumah tangga, dan pelbagai simptom lain yang sukar dijelaskan secara logik.
PENGALAMAN MELIHAT GANGGUAN GHAIB
Pernahkah tuan-tuan menyaksikan fenomena di mana sekumpulan pelajar wanita di asrama atau kolej yang tiba-tiba mengalami histeria atau kerasukan secara serentak? Suasana menjadi kecoh, dipenuhi dengan jeritan dan tangisan yang menggamit rasa seram dan tanda tanya, seolah-olah ada sesuatu yang lebih besar sedang berlaku di sebalik tabir realiti.
Pernahkah tuan-tuan melihat segerombolan anjing melolong panjang mengeluarkan bunyi 'aauuuwwooo', bersahut-sahutan tanpa henti sepanjang malam malah berlarutan selama beberapa hari?
Itulah salah satu petanda bahawa gangguan ghaib ketika itu sedang mengganas dalam skala yang luar biasa besar!
Pada malam Jumaat, 28 Januari 2022, kami sengaja bangun pada pertengahan malam sekitar jam 3:13 pagi untuk menjalankan ‘aktiviti malam’ yang sememangnya menjadi rutin harian kami. Namun, malam itu terasa agak ganjil, seolah-olah terdapat terlalu banyak kelibat yang melintas-lintas di luar rumah, terutama apabila kami melihatnya melalui pandangan mind's eye. Suasananya tidak seperti biasa, seakan ada 'sesuatu' yang sedang 'berkeliaran' di sebalik tabir alam nyata.
Terdetik di hati kami; "apakah yang berlaku pada malam ini?".
Lalu kami mula menyelidik secara spiritual, meneliti petunjuk demi petunjuk, dan akhirnya, terbongkarlah satu fakta mengejutkan; rupa-rupanya, tidak lama lagi akan berlangsungnya ritual Diablada, yang dijadualkan pada 01 Februari 2022. Sebuah ritual kesyaitanan yang diwarisi sejak turun-temurun, penuh dengan unsur pemujaan dan energi hitam. Patutlah suasana malam itu terasa begitu berat, suram dan sarat dengan getaran negatif yang sukar dijelaskan dengan kata-kata.
Di bawah ini, kami akan menghuraikan bilakah waktu-waktu tertentu yang sering menyaksikan serangan ghaib mengganas secara global, satu gelombang misteri yang mampu dirasai hampir di seluruh dunia, tanpa mengira bangsa, agama, mahupun latar budaya. Fenomena ini ibarat bayang gelap yang merentasi sempadan realiti, menyentuh jiwa-jiwa yang sensitif dan terbuka terhadap dimensi halus.
DI SAAT BAKAL BERLAKUNYA SAMBUTAN RITUAL KEGHAIBAN
Antara waktu-waktu yang kuatnya berlaku gangguan ghaib lazimnya adalah pada bulan yang akan berlakunya ritual-ritual hantu/syaitan secara berskala besar contohnya:
- Ritual Diablada pada 01 Februari,
- Ritual Samhain pada 31 Oktober,
- Mungkin ada juga ritual rahsia oleh secret society.
Gangguan dahsyat biasakan akan berlaku 2-3 minggu sebelum hari ritual itu bakal tiba.
DI SAAT TERJADI FASA BULAN PURNAMA DI MUSIM PANAS
Mungkin bab ini kedengaran agak tahyul bagi sesetengah pihak, namun kami berharap tuan-tuan dapat menganggapnya sebagai sebahagian daripada sains yang belum ditemui sepenuhnya (undiscovered science) dan tidak perlu diperdebatkan secara panjang lebar. Jika mahu mempercayainya, maka dipersilakan, dan jika tidak, itu juga tiada masalah. Yang penting, biarlah minda sentiasa terbuka terhadap kemungkinan di luar batas logik biasa.
Apabila tiba fasa bulan purnama atau gerhana bulan, ia seolah-olah berfungsi sebagai penguat kepada segala bentuk energi sama ada positif mahupun negatif. Fenomena ini bukan sekadar keindahan langit malam, tetapi turut membawa gelombang getaran halus yang mampu mempengaruhi tubuh, minda dan emosi manusia.
Jika seseorang itu didominasi oleh energi yang positif, biasanya dia akan merasakan ketenangan yang mendalam ketika bulan sedang purnama, seolah-olah jiwanya selaras dengan getaran semesta. Sebaliknya, jika individu tersebut lebih cenderung kepada energi negatif, atau mungkin sedang mengalami gangguan halus, lazimnya dia akan berasa tidak tenteram, mudah berserabut, malah boleh mengalami sakit-sakit badan tanpa sebab yang jelas.
Ahli sihir, sama ada yang mengamalkan ilmu hitam mahupun ilmu putih, sememangnya amat menantikan saat tibanya bulan purnama kerana ketika inilah kekuatan keilmuan mereka dapat ditingkatkan dengan lebih tinggi, hasil daripada gelombang energi semesta yang memuncak.
Pada saat bulan purnama tiba, lazimnya jin-jin akan menjadikan ianya sebuah hari perayaan besar atau festival yang perlu disambut lalu jin-jin itu akan keluar berkeliaran secara global. Biasanya jin-jin yang jahat akan berkeliaran sambil mengganggu manusia.
Apa-apapun, jika bulan sedang berada dalam fasa purnama/gerhana namun berlaku pula musim hujan, insha'Allah gelombang gangguan akan menjadi jauh lebih perlahan dan tidak sekuat kebiasaannya. Ini kerana majoriti jin tidak menyukai hujan apatah lagi jika disertai dengan kilat dan petir yang sabung-menyabung di langit. Getaran semula jadi daripada kilat dan titisan hujan membawa frekuensi yang mampu mengganggu kestabilan kewujudan jin-jin, menyebabkan jin-jin itu berundur atau melemah buat sementara waktu.
DI SAAT PLANET MENGALAMI RETROGRADE
Seperti yang tuan-tuan sedia maklum, orbit planet-planet di langit kadangkala kelihatan seolah-olah bergerak mengundur dari perspektif penglihatan kita di bumi, satu fenomena yang dikenali sebagai retrograde motion. Walaupun pergerakan ini hanyalah ilusi optik akibat kedudukan relatif antara bumi dan planet-planet tersebut, kesannya dalam ilmu metafizik dan astrologi sering dianggap signifikan. Untuk mengetahui planet manakah yang bakal mengalami retrograde dari semasa ke semasa, tuan-tuan bolehlah melayari laman web rasmi NASA atau sumber astronomi lain yang tepat.
Jika hanya sebuah planet sahaja yang mengalami gerakan retrograde pada satu-satu masa, biasanya ia tidak membawa kesan yang terlalu besar. Namun, apabila terdapat dua hingga empat planet yang berada dalam fasa retrograde serentak, ia sering menjadi petanda kurang baik dalam dunia metafizik. Fenomena ini dikaitkan dengan ketidakseimbangan tenaga kosmik yang boleh membuka ruang kepada gangguan halus yang lebih agresif. Ketika inilah serangan ghaib lazimnya menjadi sangat kuat dan meluas lantas mempengaruhi emosi, kesihatan, dan kestabilan rohani manusia yang sensitif terhadap perubahan getaran alam.
Ahli-ahli spiritual di seluruh dunia amat mengambil cakna terhadap hal-hal seperti ini, terutamanya sebagai langkah persediaan awal untuk menghadapi peningkatan jumlah pesakit yang mengalami gangguan halus. Umumnya, ketika fenomena seperti gerakan retrograde berganda atau bulan purnama berskala tinggi berlaku, jumlah kes gangguan akan melonjak secara drastik. Maka, para perawat perlu lebih bersedia dari segi mental, fizikal dan spiritual bagi menghadapi gelombang energi yang tidak menentu dan rawatan yang lebih mencabar.
